Tuesday, February 5

BLOG UNTUK TEMAN

Sesungguhnya aku ingin kau bahagia. Bahagia bersama teman dan keluarga. Dan bahagia itu, bukan senang dicari. Bahagia itu, bukan datang bergolek dari bukit fasa 8. Bahagia itu, bukan pakcik Pos Laju yang hantarkan. Bahagia itu, bukan datang memandu guna jalan MRR-2 yang Mr Sami Vellu ciptakan. Aku tahu, bahagia untukmu itu berada di luar sana. Ia selalu menanti kehadiranmu. Cuma perlu menunggu masa yang ditentu.

Sesungguhnya aku ingin kau bahagia. Tidak perlu bosan, bosan dengan hidup kepura-puraan. Berpura-pura yang kau gembira. Berpura-pura yang kau senantiasa bahagia. Tahanlah air matamu dari jatuh berlinangan. Sabarlah dengan segala cemuhan dan cacian makhluk Tuhan. Mereka hanyalah segelintir manusia yang ego, angkuh, bongkak, dan berlagak kononnya boleh takluki segala-galanya.

Sesungguhnya aku ingin kau bahagia. Jangan pernah fikir kekuatan dalam hati itu pernah hilang. Hilang ditiup angin entah kemana. Jangan pernah fikir hati itu sering sakit dan disakiti. Jangan pernah anggap hati itu sudah melepas tangan. Jangan pernah anggap nyawa itu sudah tidak mahu lagi berpegangan. Jangan pernah tangkis perasaan sayang. Jangan pernah tepis kehadiran cinta.

Aku tahu, aku tak rasa apa yang kau rasa. Aku tak memberi apa yang kau minta. Tak ada yang engkau mahukan. Tak mahu apa yang engkau mahukan. Aku cuma dapat berdoa. Berdoa agar kau sentiasa selamat. Berdoa agar Tuhan tidak menduga engkau sebegini rupa. Aku berdoa agar kau dapat mengecapi dan menikmati kebahagiaan itu, kebahagiaan yang sering kau dambakan. Aku berdoa agar cinta dan kasih sayang dapat memberikan kau kekuatan. Kekuatan untuk menapak dan berdiri. Kekuatan untuk senyum dan ketawa, menghadapi hari bahagia yang akan datang. Tapi, entah bila bahagia itu akan tiba? Bersabarlah..

Sesungguhnya, aku ingin kau bahagia.

-cottoncandyflavouredstrawberry-

 
Blogger design by suckmylolly.com